Dalam kesibukan manusia ke hulu ke hilir saban hari, apa yang mereka cari sebenarnya sama sahaja. Semuanya mencari sebuah erti hidup. Di sebalik apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka usahakan, apa yang mereka dambakan sebenarnya adalah bahagia.Ada orang bertemu bahagia yang dia cari.
Ada orang pernah bertemu bahagia, tapi akhirnya bahagia itu hilang dari dirinya.
Ada orang sampai mati tak bertemu bahagia.
Dan memang, ada manusia yang sanggup cabut nyawanya sendiri kerana tidak bertemu dengan bahagia!
BAHAGIA
Ia menerima takrifan yang berbeza-beza di kalangan manusia.
Ada yang menganggap bahagia itu apabila banyaknya harta. Ada pula yang melihat bahagia itu apabila orang yang dicintai berjaya dimiliki. Ada yang sedikit berbeza, menganggap bahagia itu adalah apabila berada di puncak kuasa. Berbagai-bagai.
Tetapi ketahuilah, kalau engkau mahu mencari bahagia, engkau sama sekali takkan ketemu dengannya selagi engkau tidak mentakrifkan bahagia itu dengan betul.
Bahagia, adalah suatu anugerah Allah. Ia tidak dijual oleh manusia. Sehebat dan sekaya mana pun manusia, mereka bukan pemilik bahagia. Kalau mereka bahagia sekalipun, mereka tidak boleh meminjamkan bahagia mereka kepada orang lain. Sebab, bahagia itu adalah nikmat daripada Allah.
DIA memberi hanya kepada orang yang DIA pilih.
Cuba lihat, ada manusia yang berkereta mewah dan memiliki rumah besar. Tapi jiwanya kosong. Tidak bahagia. Segenap hari dalam umurnya hanya memikirkan masalah. Tidur malamnya tidak lena, asyik memikirkan hartanya yang banyak, risau ditipu oleh orang bawahan, takut hartanya dicuri dan sebagainya.
Ada manusia yang memiliki gadis cantik sebagai isteri. Rebutan beratus jejaka, akhirnya dapat ke tangan dia. Tapi, tak bahagia juga. Hidupnya berteman sakit hati dan kecewa, apabila pertembungan sering berlaku, sikap isteri tidak lunak di mata dan sebagainya. Sebahagiannya akhirnya memilih jalan perceraian. Sebab? Mereka mahu mencari bahagia!
KUNCI BAHAGIA
Bahagia atau dalam bahasa arab disebut as-sa’adah, kuncinya adalah ketaatan kepada Allah.
Orang mukmin adalah orang yang paling bahagia, samada di dunia mahupun di akhirat. Kebahagiaan orang mukmin ini antaranya digambarkan oleh Hadith Nabi sallallahu alaihi wasallam :
” Alangkah ajaib urusan orang mukmin itu, mereka sentiasa beruntung dalam apa jua keadaan, di mana tidak ada yang seperti itu melainkan orang mukmin sahaja. Jika ditimpa musibah mereka sabar dan kesabaran itu baik bagi mereka. Jika dianugerahkan kebaikan pula mereka syukur, dan syukur itu baik bagi mereka”
( Riwayat Muslim )
Bahagia tidak mensyaratkan kaya, hensem, cantik, dapat segala keinginan dunia, tidak sama sekali. Bahagia mensyaratkan keimanan yang jitu di dalam diri.
Orang mukmin sentiasa senyuum, ceria dan bahagia. Orang mukmin adalah gambaran ahli syurga. Di syurga sana, tidak ada gundah dan gelisah. Apa yang ada cuma bahagia, seronok dan kegembiraan berpanjangan. Nikmat yang tidak putus. Sungguh tidak ada nikmat dunia yang boleh dibandingkan hatta dengan secebis pun nikmat akhirat. Tidak ada.
Orang yang dilamun cinta dengan orang yang dia suka, dia merasakan itulah nikmat paling hebat dalam hidupnya. Bebas berduaan ke sana sini, bertukar ayat-ayat cinta dan romantik, saling menyayangi dan merindui, walhal itu hanyalah satu titik kecil daripada keagungan nikmat milik Allah.
Semua nikmat itu, Allah simpan untuk orang mukmin apabila berjaya menjejak ke syurga.
Sebab itu di dunia, orang mukmin mengecap bahagia dengan cara yang berbeza. Seperti digambarkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam hadith di atas. Tidak semestinya setiap masa beroleh nikmat. Ada ketikanya diuji dengan musibah dan ujian yang berat. Berteman duka dan air mata. Berkalut dengan perasaan yang bermacam-macam.
Namun, mereka ada kunci untuk terus bahagia. Mereka tidak putus asa, tidak memberontak, tidak memilih jalan derita sebaliknya mereka memilih untuk mengembalikan semua urusan mereka kepada Allah. Susah atau senang, derita atau gembira, mereka memilih untuk benar-benar menjadi mukmin.
Lantaran itu, Allah hadiahkan kebahagiaan buat mereka.
BAHAGIA ITU LETAKNYA DI HATI
Mana mungkin engkau mencari bahagia, sedangkan hatimu kotor penuh dosa.
Mana mungkin engkau meraih bahagia, sedangkan jiwa ingkar dan jauh daripada-Nya.
Mana mungkin engkau mahu bahagia, kalau hidup dalam maksiat kepada-Nya.
TIDAK ADA kebahagiaan buat mereka yang mengingkari Allah Ta’ala.
Dosa adalah virus.
Ia merosakkan fitrah kebaikan dalam jiwa manusia. Pandangan manusia yang asalnya jernih bertukar gelap dan kabur, semuanya kerana dosa. Ia mencemarkan firasat hati manusia yang tulus, menjadikannya kelam dan hitam.
Carilah bahagia dengan TAUBAT.
Carilah bahagia dengan pandang ke depan, bukan berterusan larut dalam maksiat dan bertangguh dari perubahan.
Carilah bahagia, selagi nyawamu masih ada.
Carilah bahagia dengan bersangka baik dengan Allah, Tuhan yang Maha Pengampun dan Penyayang.
Jika engkau mencari bahagia dengan cara yang betul, insyaAllah hidupmu di dunia akan lebih bermakna, kerana visi misinya tidak terhenti setakat engkau memejam mata, bahkan merentas jauh hingga ke akhirat sana.
Dan aku juga salah seorang pencari bahagia.
Moga tergolong dalam golongan yang diberi kurniaan oleh-Nya.
Amin.